30/10/2011

Hikayat Seri Kelantan



TEMA
Mengenai sejarah pemerintahan negeri Kelantan yang bermula dengan pemerintahan Encik Siti, kemudian Sultan Abdullah dan beberapa lagi pemerintah selepasnya.

PERSOALAN

     1.  Tanggungjawab sebagai pemerintah
  • Pemerintah perlu bersikap adil dan saksama dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat.
     2.  Kesetiaan dalam perhubungan
  • Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Puteri Sa'dung kepada suaminya.
     3.  Pemerintah yang bersikap zalim    
  • Raja Siam sanggup menyerang Raja Abdullah demi mendapatkan Puteri Sa'dung.
PLOT

     Permulaan
  • Mengisahkan tentang negeri Kelantan atau Tanah Serendah Kebun Bungan Cerangtegayung.
  • Ditadbir dengan baik oleh Encik Siti. Beliau tidak mempunyai suami dan mengambil Puteri Sa'dung sebagai anak angkat. 
     Perkembangan
  • Apabila Puteri Sa'dung berkahwin dengan Raja Abdullah.
  • Berlaku serangan daripada Raja Siam dan Puteri Sa'dung di bawa balik ke Siam.
      Klimaks
  • Berlaku persengketaan antara Puteri Sa'dung dengan Raja Abdullah.
  • Puteri Sa'dung telah dipancung oleh Raja Abdullah. Namun Puteri Sa'dung boleh hidup kembali dengan keajaiban yang dimilikinya dan berjaya memancung kembali Raja Abdullah.
       Peleraian
  • Berganti tampok pemerintahan
  • Kelantan diperintah oleh Raja Pasir Emas selepas Encik Siti dan Raja Abdullah.

TEKNIK PLOT

      Dialog
  • Teknik ini digunakan untuk menggerakkan atau mengembangkan jalan cerita
  • Contohnya: Puteri Sa'dung bertanya kepada Raja Ibrahim akan tujuannya datang mengadap sedangkan kekandanya iaitu Sultan telah mati.
  • Selain itu dapat dilihat pada perbincangan Puteri Sa'dung dengan Raja Abdullah mengenai negerinya yang dilanggar oleh Siam.
      Monolog
  • Berupa doa, rungutan, keluh kesah ataupun ratapan.
  • Contohnya: Puteri Sa'dung memohon supaya negerinya itu berpindah ke suatu tempat yang tidak akan dikunjungi orang supaya tidak dapat dikesan oleh pengikut Raja Siam.
       Monolog Dalaman
  • Contohnya: Puteri Sa'dung berfikir bahawa dia telah murka kepada suaminya kerana ingin mengikut arahan Raja Siam

WATAK DAN PERWATAKAN

      Encik Siti
  • Seorang Raja/ pemerintah di Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung
  • Tidak bersuami
  • Ibu angkat kepada Puteri Sa'dung
  • Pemerintah yang adil dan saksama
  • Disenangi oleh semua rakyat
       Puteri Sa'dung
  • Anak angkat kepada Encik Siti
  • Isteri kepada Raja Abdullah
  • Seorang yang mempunyai paras rupa yang cantik
  • Setia kepada suami
  • Mempunyai keajaiban
      Raja Abdullah
  • Suami kepada Puteri Sa'dung
  • Pemerintah di Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung
  • Tidak setia, sanggup berkahwin lain semasa ketiadaan isteri
  • Kejam, sanggup membunuh isteri sendiri
      Raja Siam
  • Pemerintah Negeri Siam
  • Seorang yang zalim kerana sanggup mengambil isteri orang

LATAR TEMPAT

      1. Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung
  • Tempat pemerintahan Encik Siti
      2. Mahligai
  • Kota baru yang dibina untuk Raja Abdullah dan Puteri Sa'dung. Disini juga tempat jatuhnya Kota Jelasin
      3. Tasik Padang Layang
  • Tempat Raja Abdullah dimakamkan
      4. Negeri Siam
  • Tempat pemerintahan Raja Siam dan tempat Puteri Sa'dung di bawa oleh Tuk Ca untuk bertemu Raja Siam
       5. Bukit Marak
  • Tempat persinggahan Puteri Sa'dung dan wakil-wakil dari Siam yang menghantarnya pulang ke Mahligai
  • Puteri Sa'dung berpindah ke kawasan ini selepas kematian Raja Abdullah.

LATAR MASA

      1. Zaman Pemerintahan Encik Siti

  • Bermula dengan zaman pemerintahan Encik Siti yang aman dan makmur serta mempunyai ramai pengikut
      2. Zaman Pemerintahan Raja Abdullah
  • Pada zaman ini, pemerintahan Sultan Abdullah telah diserang oleh Siam kerana menginginkan Puteri Sa'dung untuk raja mereka iaitu Raja Siam
      3. Zaman Pemerintahan Sultan Ibrahim
  • Zaman pemerintahan selepas Sultan Abdullah dipancung. Pada zaman ini berlaku huru-hara kerana pemerintah yang sangat zalim dan tidak disukai oleh rakyat.  

LATAR MASYARAKAT

      1. Masyarakat yang menghormati pemerintah
  • Rakyat akan mentaati dan berbuat apa sahaja untuk pemerintah. ini dapat dilihat pada masyarakat Raja Siam.
      2. Masyarakat yang terdiri daripada golongan pemerintah dan pengikut
  • Akan terdapat sultan sebagai pemerintah dan rakyat sebagai pengikut dalam sesebuah organisasi pentadbiran negara.  
      3. Pemerintah yang mengikut hawa nafsu
  • Raja negeri Siam sanggup melanggar negeri Jelasin demi mendapatkan Puteri Sa'dung bagi memenuhi keinginannya mengahwini puteri tersebut.

GAYA BAHASA

      1. Pengunaan ayat Al-Quran
  • Contohnya: Bismillahirrahmanirahim wabihi nasta 'inu billahi Taala.
      2. Penggunaan bahasa Melayu klasik
  • Contohnya: cetera, maka, tatkala, alkisah dan sebagainya.
      3. Menggunakan bahasa Istana
  • Contohnya: bonda, ayahanda, dayang.
      4. Penggunaan unsur anafora
  • Contohnya: 
                            maka lalu dipersembahkan oranglah kepada Sultan Abdullah....
                            maka Sultan Abdullah pun sangatlah marahnya...
                            maka utusan Siam pun keluarlah dengan kemaluan yang sangat.

       5. Simile
  • Contohnya: 
                            ...marahnya seperti ular mengeluarkan bisanya.
                            ...merah seperti bunga raya.
                            ...tiadalah siapa-siapa seumpama Sultan Abdullah itu.

NILAI

       1. Setia kepada suami
  • Contohnya: Puteri Sa'dung tidak mahu mengahwini Raja Siam kerana setia kepada Raja Abdullah.
       2. Pemerintahan yang adil
  • Cik Siti memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung dengan adilnya sehingga disayangi oleh semua rakyat jelata.
       3. Taat setia kepada raja.
  • Rakyat Raja Siam menuruti segala kemahuan rajanya walaupun pemerintah itu tidak baik.

PENGAJARAN

      1. Perlu pertimbangan yang adil sebelum menjatuhkan hukuman 
  • Sebelum hukuman dijatuhkan, pertimbangan dan kewarasan perlu diambil kira agar hukuman yang bakal dijatuhkan itu tidak berat sebelah dan menganiaya seseorang.
      2. Memerintah dengan adil dan saksama
  • Seorang pemimpin atau pemerintah perlu melaksanakan tanggungjawabnya mentadbir negara dengan adil tanpa menzalimi rakyat.
      3. Menjadi suami yang bertanggungjawab
  • Perlu melunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang baik kepada seorang isteri.
       4. Menjadi isteri yang taat dan setia kepada suami.
  • Menumpukan sepenuh perhatian dan ketaatan kepada suami serta sentiasa bersedia menempuhi pelbagai kesusahan.
                        

Hikayat Cendawan Putih

TEMA
Pengembaraan anak-anak raja yang bersemangat serta berusaha untuk mencapai sesuatu perkara. Ini dapat dilihat melalui pengembaraan Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Linggam Cahaya untuk mendapatkan telur Merpati Putih. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tujuan walaupun terdapat pelbagai halangan yang perlu dihadapi.

PERSOALAN
  1. Bersemangat dalam mencapai matlamat
  • Contohnya: Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Linggam Cahaya mengembara semata-mata hendak mencari telur Merpati Putih untuk ayahanda mereka. Walaupun terdapat pelbagai halangan, mereka tidak pernah berputus asa. 
     2.  Keberanian dalam menghadapi sesuatu perkara
  • Contohnya: Tuan Puteri Linggam Cahaya berani mengembara seorang diri walaupun dirinya seorang perempuan. Beliau sanggup berdepan dengan risiko demi melihat ayahandanya sembuh dari penyakit yang dihidapi.
     3.  Kasih sayang terhadap bapa
  • Contohnya: Tuan Puteri Linggam Cahaya sangat menyayangi ayahandanya. Kasih sayang itu terbukti apabila beliau sanggup mengembara seorang diri untuk mencari telur Merpati Putih bagi mengubati penyakit ayahandanya.
  • Kasih sayang ini juga dapat dilihat wujud dalam diri Raden Kesuma Wati yang turut mengembara seorang diri.
     4.  Perasaan dengki yang membawa kepada kejahatan
  • Contohnya: Raden Kesuma Wati mempunyai perasaan hasad dengki kepada saudaranya Tuan Puteri Linggam Cahaya kerana tidak mahu beliau jatuh ke tangan Raden Kesuma Ningrat yang telah membunuh saudaranya itu.
     5.  Mencapai sesuatu dengan melakukan kejahatan
  • Contohnya: Raden Kesuma Wati telah membunuh Tuan Puteri Linggam Cahaya kerana Tuan Puteri tidak mahu mmemberikannya telur Merpati Putih. Beliau yang kehilangan telur telah cuba merampas telur milik Tuan Puteri dengan bertindak membunuhnya. 

PLOT

     Permulaan
  • Cerita dimulakan dengan kisah raja di dua buah negeri. Raja Indera Kemala dan Raja Syah Dewa Alam yang sakit telah mengidam untuk makan telur Merpati Putih. Telur tersebut merupakan satu-satunya ubat yang dapat mengubati penyakit kedua-dua raja tersebut.
  • Raden Kesuma Wati merupakan anak kepada Raja Indera Kemala, manakala Tuan Puteri Linggam Cahaya ialah anak kepada Raja Syah Dewa Alam. Kedua-dua puteri tersebut telah keluar mengembara untuk mencari telur yang diidamkan oleh bapa masing-masing walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan.
      Perkembangan
  • Tuan Puteri Linggam Cahaya terpaksa mengembara sendirian setelah kesemua rakyat dan hulubalang yang dibawanya mati dan berpecah. Beliau telah menukar identiti sebagai Bangbang Gajah Merta setelah sampai ke sebuah negeri bernama Kesambi Pura.
  • Bangbang Gajah Merta telah berkahwin dengan Tuan Puteri Ratna Melur anakanda kepada Tuanku Si Alam. Setelah selesai majlis perkahwinan, beliau telah memulakan kembali pengembaraannya untuk mencari telur Merpati Putih sehingga sampai ke sebuah gunung yang sangat besar.
  • Tuan Puteri telah dibantu oleh seekor singa dengan menyuruhnya menunggu kedatangan Raden Kesuma Ningrat yang akan bersamanya mencari telur tersebut.
     Perumitan
  • Konflik bermula apabila Raden Kesuma Wati telah ditangkap akibat memakan makanan seorang pengerai tanpa kebenaran di sebuah negeri bernama Indera Buangan. Beliau telah dikenakan hukuman oleh Raden Kesuma Ningrat, anakanda kepada pemerintah negeri berkenaan.